Hasil tinjauan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), didapati lebih RM225 juta baki dana penyelidikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terbiar selama hampir 20 tahun.
Tidak hanya itu, berdasarkan laporan penyata Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI) turut mendedahkan sebanyak RM183.11 juta baki geran penyelidikan di 11 agensi pelaksana direkodkan masih gagal dikembalikan kepada kerajaan. Kelemahan ini secara tidak langsung berisiko merencatkan peluang teknologi perindustrian Malaysia di pasaran global.
Buat pengetahuan umum, prestasi Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) di Malaysia sekadar di paras 1.01% iaitu jauh lebih rendah berbanding sasaran negara di paras 2.5%. Kedudukan itu secara langsung menempatkan Malaysia di tangga ke-34 dalam Global Innovation Index (GII).
Selain dapatan ini, terdapat juga beberapa penemuan ketirisan dana lain seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) didapati membelanjakan RM33.8 juta (26.9%) daripada dana RDCI untuk keperluan perjalanan, mengurus dan elaun pekerja kontrak. Tindakan itu dilihat bertentangan dengan Garis Panduan Penyelidikan RMK12. Diikuti UKM pula berdepan kelewatan 15 bulan naiktaraf bangunan, sekali gus menjejaskan 27 projek R&D yang mana kerajaan perlu menanggung kos tambahan RM1.81 juta untuk sewaan makmal luar.
Rentetan tinjauan sedemikian, PAC mencadangkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF) dan kementerian berkaitan untuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) dalam memastikan semua IPT dan agensi pelaksana patuh akan peraturan antaranya memulangkan semula baki geran projek dalam tempoh 3 hingga 6 bulan setelah penyelidikan tamat. Kegagalan berbuat demikian wajar berdepan penalti dan sekatan geran baharu.