Peningkatan golongan gelandangan dan peminta sedekah warga asing, tempatan di ibu kota dan seluruh Malaysia, jelas menuntut perhatian pihak berkuasa untuk menangani isu ini secara menyeluruh merentasi pelbagai kerjasama pihak berkepentingan.
Ke arah membendung isu tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada laporan memaklumkan kajian berhubung tindakan tersebut sedang diteliti dan menyasarkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan gelandangan ini dapat dibentangkan pada 2028. Sasaran itu perlu mengambilkira peranan pelbagai pihak antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Untuk makluman umum, usaha menangani isu gelandangan ini bukanlah kali pertama dilaksanakan – sebelum ini di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil seramai 7,862 gelandangan atau orang papa sepanjang tempoh 2021 hingga Mei 2025. Langkah ini meraih sokongan agensi penguatkuasa seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun menyedari kekangan Akta 183 dilihat tidak lagi relevan buat negara menangani isu pengemisan maka pelaksanaan RUU Gelandangan kelak dijangka dapat membantu mengimbangi keperluan penguatkuasaan kelak.