Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) secara rasminya memperkenalkan aplikasi Amil AI – iaitu memudahkan orang ramai untuk melunaskan pembayaran zakat, wakaf serta amalan sedekah.
Menariknya aplikasi sedemikian turut membantu orang awam meraih maklumat berkaitan pengiraan zakat, kadar kutipan dan agihan semasa menerusi sokongan AI. Selain turut boleh mengemukakan persoalan berkaitan isu zakat, aplikasi juga menyediakan fungsi pengesanan kariah secara automatik buat pengguna yang berada di Kedah. Akses ini sekali gus membolehkan pengguna ketahui jumlah penerima bantuan dan agihan zakat di kariah terlibat bersama lokasi masjid dan maklumat pembantu amil.
Sebagai penjelasan lanjut, ini antara 6 ciri yang tersedia pada aplikasi Amil AI berdasarkan pelancaran yang dilaksanakan hari ini:
- Amil AI – pembantu pintar urusan zakat
- Bayan AI – rujukan dan penjelasana berhubung kandungan buku zakat
- i-Serve – khidmat bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah menerusi video
- Semakan Zakat – rekod dan status bayaran zakat pengguna
- Permohonan Zakat – medium bantuan zakat secara atas talian
- Peta Interaktif LZNK – carian lokasi kariah serta maklumat kutipan dan agihan zakat semasa
