Jenama pakaian tempatan, Bulan Bintang kini mengesahkan bakal memperluaskan rangkaian produknya dengan memasuki segmen penjualan pakaian seragam sekolah. Pengasasnya, Azzim Zahid Azmi atau lebih dikenali sebagai Meri memaklumkan bahawa perancangan untuk meneroka kategori baharu ini sebenarnya telah tercetus sejak dua hingga tiga tahun lalu sebelum akhirnya berpeluang merealisasikannya pada pasaran semasa.
Menurut beliau, kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi koleksi pakaian seragam sekolah tersebut telah mula digerakkan oleh bahagian fesyen Bulan Bintang sejak penghujung tahun 2025. Langkah persediaan awal ini dilaksanakan secara selari tatkala tumpuan utama pasaran ketika itu lebih terarah kepada pengeluaran koleksi pakaian musim perayaan.
Biarpun setakat ini tidak dinyatakan secara terperinci akan tempoh rasmi penjualan segmen baharu tersebut dimulakan, Rnggt melihat pengumuman ini selari dengan pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi yang telah dilaraskan bermula pada 4 Januari 2027 di seluruh Malaysia sekali gus memberi pilihan baharu buat ibu bapa membuat persiapan kelengkapan sekolah anak-anak dalam tempoh terdekat.