Asas kemajuan sesebuah ekonomi bermula daripada pendidikan, namun kekangan kewangan masih menjadi penghalang buat ramai anak muda berbakat untuk melangkah lebih jauh. Memahami cabaran ini, GXBank menerusi inisiatif Impian Gigih yang bermula sejak 2023 telah membuka lembaran baharu buat pelajar negara. Dan siapa sangka kini lebih 2,000 keluarga telah meraih manfaat tersebut dalam tempoh hanya tiga tahun.
Impian Gigih untuk makluman adalah sebuah inisiatif keterangkuman dan celik kewangan bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah dalam menyekolahkan anak-anak mereka.
Inisiatif merangkumi 3 tumpuan utama iaitu Impian Gigih Dermasiswa iaitu menyalurkan bantuan kelengkapan persekolahan, barangan asas makanan serta sokongan intensif peralatan pendidikan digital. Diikuti Impian Gigih Celik Kewangan membantu pelajar membina asas kewangan yang mampan bersama sokongan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Dan fokus ketiga Impian Gigih Biasiswa iaitu menawarkan tajaan pendidikan pelajar di universiti awam seluruh Malaysia. Biasiswa tanpa ikatan ini merangkumi tajaan yuran penuh, elaun sara hidup, dan bimbingan kepemimpinan eksekutif, bagi memberi ruang yang luas untuk mereka membina kerjaya impian tanpa belenggu hutang atau ikatan korporat.
Dengan komitmen membantu pendidikan Malaysia, GXBank melihat peranan ini sejajar dengan tanggungjawab bank digital melangkaui akses perbankan asas kepada usaha menangani kekangan kewangan yang menyekat mobiliti sosial. Secara menyeluruh, adanya inisiatif sedemikian pada sistem pendidikan negara ia berpotensi menjadi pemangkin utama dalam menjayakan matlamat Malaysia untuk muncul sebagai ekonomi berpendapatan tinggi kelak.