Menguruskan perniagaan kecil bukanlah satu tugas yang mudah kerana pemiliknya sering terpaksa memikul pelbagai peranan serentak, merangkumi aspek kewangan, operasi, dan strategi. Menyedari cabaran ini, kajian landskap global Mastercard mendedahkan bahawa 41% perniagaan kecil dan sederhana (PKS) meletakkan usaha meningkatkan kecekapan perniagaan melalui alatan dan teknologi baharu sebagai matlamat utama 5 tahun operasi mereka.
Landskap perniagaan kini turut menyaksikan peralihan besar terhadap penerimaan teknologi pintar apabila 70% PKS melahirkan rasa teruja terhadap potensi dan keupayaan AI dalam membantu serta memacu operasi perniagaan harian mereka. Keyakinan ini disokong kuat oleh realiti pasaran, di mana hampir 78% usahawan percaya bahawa alatan perniagaan masa kini perlu berfungsi dan berhubung antara satu sama lain secara bersepadu untuk memastikan kejayaan operasi.
Bagi memenuhi keperluan mendesak ini, Mastercard memperkenalkan inovasi terbaharu menerusi konsep kecerdasan eksekutif Virtual C-Suite yang ditampilkan pada Mac lalu untuk membantu perniagaan kecil beroperasi dengan lebih sistematik. Melalui penyelesaian itu jelas Mastercard pada acara Singapore Fintech Festival 2026 pada hari ini, beban pentadbiran dapat dikurangkan, sekali gus membolehkan usahawan menumpukan lebih banyak masa kepada pembangunan produk dan strategi pengembangan pasaran.

Komponen teras yang diperkenalkan melalui inisiatif ini ialah CFO Maya (Virtual CFO), yang berfungsi menterjemahkan data kewangan yang rumit kepada panduan praktikal dan bermakna. Dengan adanya sokongan kecerdasan buatan yang berkesan ini, Mastercard berharap dapat terus memperkasakan PKS global untuk membuat keputusan yang lebih bijak serta berdaya saing pada masa hadapan.