Artikel

Mastercard Accept Bakal Dilaksana Secara Berfasa – Mudahkan Urusan Jualan Peniaga

Mastercard hari ini di Singapore FinTech Festival (SFF) memperkenalkan Mastercard Accept, satu penyelesaian baharu yang direka untuk memudahkan individu dan peniaga kecil menerima bayaran kad melalui aplikasi perbankan atau pembayaran sedia ada serta telefon pintar mereka.

Mastercard Accept membolehkan pemegang kad debit dan prabayar yang layak menerima bayaran tanpa memerlukan terminal pembayaran berasingan. Untuk menerima bayaran, pemegang kad hanya perlu membuka aplikasi perbankan atau pembayaran sedia ada mereka, memilih pilihan untuk menerima bayaran dan memasukkan jumlahnya. Mereka kemudiannya boleh menghalakan telefon pintar mereka kepada pelanggan, seterusnya boleh membuat bayaran secara nirtunai ataupun mengimbas kod QR untuk mengakses pautan pembayaran kad.

Dengan memperluaskan penerimaan bayaran melalui hubungan perbankan sedia ada, Mastercard Accept membantu mengurangkan sebahagian daripada kos dan kerumitan untuk peniaga mula menggunakan pembayaran digital.

Namun, perkhidmatan ini tidak dilancarkan secara serentak di seluruh dunia, sebaliknya akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan mendatang mengikut kesediaan bank rakan kongsi serta kelulusan kawal selia di setiap negara. Buat masa ini, tiada tarikh spesifik diumumkan bagi pengenalannya di pasaran Malaysia.

Bagi peringkat awal perluasan di Asia Pasifik, terdapat tiga institusi terawal yang bakal menerima akses ini merangkumi Maya Bank (Filipina), Bank of Ceylon dan LOLC (Sri Lanka), diikuti Kardal dan Oriental Bank (Kemboja).

Menerusi perluasan ini, Mastercard menjangkakan lebih ramai peniaga kecil di rantau ini meraih akses pembayaran yang lebih mudah secara berkala. Selain institusi kewangan tersebut, beberapa pemain dari negara lain turut akan menyediakan akses Mastercard Accept pada fasa seterusnya termasuklah areeba (Lubnan), BAC Latam (El Salvador/Costa Rica), Banco de Costa Rica (Costa Rica), Banco Davivienda (Colombia), Banco Industrial (Guatemala), Banco Nacional De Costa Rica (Costa Rica), Equity Bank (Kenya), Getnet (Brazil/Argentina/Chile/Mexico), G&T Continental (Guatemala), Grupo Cibest (Mexico), KCB Bank Kenya (Kenya), Network International (Emiriah Arab Bersatu/Timur Tengah/ Afrika), dan Premier Bank Kenya (Kenya).