Artikel

83% Pengguna Malaysia Jadi Sasaran Scam, Rantau Asia Tanggung Rugi AS$136.5 Bilion

Sekitar 83% responden dewasa yang ditinjau di Malaysia mengakui pernah berdepan dengan cubaan penipuan dalam tempoh 12 bulan lalu, sekali gus meletakkan negara ini antara pasaran dengan kadar pendedahan tertinggi di Asia. Berdasarkan pembentangan data oleh Mastercard yang memetik laporan State of Scams in Asia oleh Global Anti-Scam Alliance (GASA), kadar pengalaman berdepan cubaan scam bagi responden di Malaysia itu jauh mengatasi purata serantau Asia yang berada pada paras 71%, didahului Vietnam (85%) dan Filipina (84%).

Rekod ini secara menyeluruh, telah mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah $136.5 bilion di seluruh Asia sepanjang tempoh setahun.

Perkongsian Peter Robejsek, Timbalan Presiden Eksekutif Pembangunan Pasaran Mastercard Asia Pasifik ini menjelaskan kedudukan itu memperlihatkan rekod secara individu, Malaysia mencatat purata kerugian per kapita ketiga tertinggi dalam kalangan 6 negara Asia yang dikaji, mengekori rapat Singapura dan Hong Kong walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita negara berada pada paras AS$16,000 berbanding Singapura (AS$98,000) dan Hong Kong (AS$59,000).

Situasi ini menunjukkan tahap kekerapan pendedahan terhadap taktik penipuan di Malaysia adalah sangat tinggi dan memberi tekanan kewangan yang ketara kepada pengguna tempatan berbanding negara jiran seperti Thailand, Vietnam, dan

Data tersebut turut mendedahkan bahawa pengguna di rantau ini paling kerap berinteraksi dengan penipuan melibatkan pembelian atas talian sebanyak 23%, diikuti penipuan pelaburan (22%), serta tawaran pekerjaan dan penyamaran yang masing-masing mencatatkan 21%. Dari segi pendedahan umum, penipuan pelaburan dan tawaran wang tidak dijangka mencatat kadar tertinggi iaitu 61%, manakala penipuan penyamaran merekodkan 58% membuktikan sindiket kini semakin agresif menyasarkan pengguna melalui pelbagai saluran digital dan platform dagangan.

Bagi saluran transaksi pula, pemindahan wang melalui perbankan tradisional kekal menjadi kaedah utama sindiket menerima wang daripada mangsa iaitu sebanyak 37%, diikuti rapat oleh penggunaan dompet digital pada kadar 36% dan kad debit atau kredit sebanyak 15%. Penguasaan saluran perbankan dan dompet digital yang merangkumi lebih 70% daripada keseluruhan aliran dana penipuan ini menuntut tahap kewaspadaan yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna Asia serta pengukuhan sistem keselamatan siber oleh penyedia perkhidmatan kewangan tempatan.