Selangor terus komited memacu pembangunan negeri apabila memperuntukkan sejumlah RM3.3 bilion menerusi Belanjawan Negeri 2027. Peruntukan ini menyaksikan peningkatan berterusan berbanding RM3.23 bilion yang diumumkan pada tahun semasa, sekali gus mencerminkan kedudukan kewangan negeri yang kekal berdaya tahan.
Jumlah peruntukan Belanjawan Selangor 2027 ini dikongsikan Menteri Besar Selangor Amirudin Sharipada sidang pembentangan hari ini – memperincikan sebanyak RM1.9 bilion (57.6%) disalurkan bagi tujuan perbelanjaan mengurus, manakala baki RM1.4 bilion (42.4%) pula diperuntukkan khusus untuk merancakkan perbelanjaan pembangunan.
Seiring dengan langkah perbelanjaan berhemah dan berimpak tinggi ini, Selangor menganggarkan kutipan hasil negeri mampu mencecah RM2.85 bilion pada tahun 2027. Unjuran hasil ini dipacu terutamanya oleh sumbangan premium tanah berjumlah RM1.112 bilion (39%), diikuti kutipan cukai tanah sebanyak RM653.82 juta (23%) serta pemberian daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM292.70 juta (10%).