Menyedari terdapat kebimbangan berhubung kedudukan pekerja Muslim yang bertugas, terlibat dalam urusan jual beli barangan tidak halal di premis bercampur – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui bahagian perundangan syariah kini dalam tindakan untuk merangka garis panduan khusus buat pekerja Muslim terlibat berhubung persekitaran tersebut.
Pendekatan ini sedang diberi perhatian menurut notis Parlimen, yang mana turut melibatkan kebersamaan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Peguam Negara (JPN) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Pendekatan itu dilihat berupaya memberi panduan yang menyeluruh buat premis yang menjalankan aktiviti perniagaan barangan halal dan tidak halal. Setakat ini pemantauan dan langkah advokasi secara berkala ke atas premis berkaitan telah dilakukan bagi meningkatkan kesedaran akan pematuhan ketetapan hukum syarak.
Selain pendekatan itu, pihak terlibat turut ingin perkukuhkan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui pelaksanaan undang-undang kecil dan mekanisme pelesenan sedia ada secara lebih efektif. Langkah sedemikian turut akan diperincikan bersama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan agensi berkaitan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Namun apa yang paling utama adalah peranan Majikan, iaitu mengambil langkah yang bersesuaian melalui penyusunan semula tugasa atau pengasingan kaunter pembayaran supaya pekerja Islam tidak terlibat secara langsung pada urusan penjualan arak tersebut tanpa menjejaskan peluang pekerjaan mereka.