Pulau Pinang kini meraih kelulusan PBA Holdings bagi usul pembelian bekalan air terawat secara pukal dari Perak di bawah Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) yang dijadualkan bermula pada 31 Mac 2032.
Buat pengetahuan umum, perjanjian ini melibatkan pembelian antara 300 hingga 500 juta liter sehari (JLH) bagi tempoh 40 tahun dari 2032 hingga 2072. Ia melibatkan anggaran caj pembelian berjumlah RM24.6 bilion atau purata RM615 juta setahun. Dengan kesepakatan itu Perak bertanggungjawab pada tindakan kos pengendalian, mendapatkan sumber air mentah, mengepam, merawat dan menyalurkan bekalan air terawat kepada Pulau Pinang. 
Tetapi setakat ini, perjanjian ini perlu memenuhi satu lagi syarat pelaksanaan iaitu pihak Perak perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi meraih persetujuan tarif, caj kapasiti dan caj bekalan. Perak mempunyai tempoh sehingga 2035 untuk mendapatkan kelulusan sedemikian, jika gagal maka Pulau Pinang boleh memilih untuk tidak meneruskan perjanjian.