Artikel

MITI Perkenal Aplikasi MySaham MITI – Permudah Urusan Saham Khas Bumiputera

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini melancarkan aplikasi MySaham MITI bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital serta memudahkan pelabur Bumiputera menguruskan urusan berkaitan Saham Khas Bumiputera (SKB). 

Pengenalan aplikasi ini bertujuan memperluas akses golongan Bumiputera terhadap peluang pemilikan ekuiti korporat negara, khususnya bagi syarikat-syarikat yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia. Melalui saluran digital yang jelas dan mudah dicapai ini, lebih ramai pelabur yang layak dijangka dapat memanfaatkan penawaran saham yang diselaraskan oleh MITI.

Menerusi aplikasi MySaham MITI, pelabur berdaftar dan pihak berkepentingan kini boleh mengakses pelbagai kemudahan utama secara terus melalui peranti mudah alih mereka. Ini merangkumi proses permohonan penyertaan dalam penawaran saham, semakan status serta keputusan permohonan dengan lebih pantas. Di samping itu, pengguna turut dibekalkan dengan maklumat portfolio pelaburan serta notifikasi berkala mengenai penawaran baharu, tarikh-tarikh penting dan pengumuman terkini berkaitan SKB.