Gagal menjelaskan bayaran ansuran anggaran cukai CP500 tidak akan menyebabkan pembayar cukai dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara. Timbalan Menteri Kewangan (MOF), Liew Chin Tong, memperincikan CP500 hanyalah anggaran awal dan bukannya taksiran cukai muktamad.
Jumlah liabiliti cukai sebenar hanya akan dikira selepas pembayar cukai mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran berkenaan.
CP500 adalah amaun ansuran akan dianggarkan oleh LHDN dan akan dihantar kepada pembayar cukai pada setiap awal tahun. Pembayar cukai dikehendaki membuat bayaran mengikut tarikh dan jumlah bayaran ansuran seperti yang ditetapkan di dalam notis CP500 tersebut.
Kenyataan MOF demikian bagi menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat mengenai kewajaran sekatan perjalanan akibat tunggakan CP500. Menurut Chin Tong, bayaran ansuran CP500 yang telah dibuat akan ditolak daripada jumlah cukai sebenar. Sekiranya masih terdapat baki cukai yang belum dijelaskan selepas tempoh yang ditetapkan, barulah jumlah tersebut dikategorikan sebagai tunggakan cukai rasmi.
Namun, sekatan perjalanan ke luar negara masih boleh dikenakan terhadap mana-mana individu atau pengarah syarikat yang mempunyai tunggakan cukai muktamad mengikut undang-undang sedia ada. Oleh itu, pembayar cukai dinasihatkan supaya menyemak status liabiliti cukai mereka menerusi portal MyTax dan mengesahkan status perjalanan di laman web Jabatan Imigresen sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara.