Artikel

TNG eWallet Kini Bolehkan Pengguna Raih Akses Khidmat Seru-Pandu Di Luar Negara

Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) hari ini melancarkan ciri seru-pandu luar negara, sekali gus menjadikannya dompet digital Malaysia pertama yang membolehkan pengguna menempah dan membayar tambang kenderaan di luar negara secara terus dalam aplikasi.

Ini bermakna rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara tidak lagi perlu memuat turun aplikasi seru-pandu tetapi boleh secara terus mengaksesnya pada aplikasi TNG eWallet sedia ada. Menariknya, tambang tersebut boleh dibayar menggunakan baki yang tersedia pada aplikasi tanpa perlu pengguna khuatir akan tindakan pertukaran nilai asing secara tunai apabila tiba di destinasi pelancongan.

Dibangunkan dengan kerjasama Alipay+, ciri ini menyediakan akses kepada perkhidmatan e-panggilan merentas 47 negara dan lebih 12,000 bandar, meliputi destinasi pelancongan popular dalam kalangan rakyat Malaysia seperti Jepun, Korea Selatan, dan China, serta pasaran terpilih di Amerika Utara dan Kesatuan Eropah.

Ini senarai khidmat seru-pandu yang terlibat:

  • Kesatuan Eropah – Bolt
  • Amerika Syarikat dan Kanada – Lyft
  • Jepun – GO
  • Korea – Kakao T
  • China – DiDi Travel & AMap

Pelancaran ini jelas TNG Digital adalah tindak balas kumpulan terhadap permintaan yang semakin meningkat untuk pengalaman perjalanan serba merangkumi semua dalam satu aplikasi. Setakat ini, kira-kira 35% pengguna TNG eWallet telah menggunakan sekurang-kurangnya satu perkhidmatan berkaitan pelancongan di dalam aplikasi ini, yang mengetengahkan peluang untuk menyokong lebih banyak keperluan mereka sebelum dan semasa perjalanan.

Maka dengan penambahan khidmat seru-pandu luar negara ini ia berupaya memperluaskan rangkaian perkhidmatan pelancongan yang tersedia melalui TNG eWallet. Para pelancong boleh mengakses tawaran pelancongan dan pelan eSIM sebelum berlepas, membuat pembayaran rentas sempadan di destinasi mereka, dan kini menempah kenderaan untuk bergerak, kesemuanya di dalam satu aplikasi yang sama.