Google hari ini mengumumkan rancangannya membangunkan infrastruktur digital di Malaysia, termasuk pelaburan sebanyak $15 bilion dalam tempoh dua tahun iaitu 2027 hingga 2028.
Pelan bersepadu Google ini untuk makluman merangkumi pembangunan kampus pusat data yang cekap tenaga di zon perindustrian serta kerjasama baharu untuk meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, disamping menyokong jaminan bekalan air tempatan dan menambah kapasiti tenaga bersih melebihi 1 gigawatt (GW) kepada Grid Nasional Malaysia.


Buat pengetahuan umum, Malaysia kini antara ekonomi digital paling dinamik di Asia Tenggara dengan kadar penembusan internet 99% serta merekodkan penggunaan AI yang pesat dalam agensi kerajaan, perniagaan dan pengguna. Maka untuk menyokong permintaan sedemikian – Google bermatlamat menyediakan kapasiti pengkomputeran bertaraf dunia yang diperlukan untuk menjalankan aplikasi digital dan AI generasi baharu yang dibangunkan di Malaysia. Infrastruktur ini juga akan menyokong perkhidmatan Google seperti Search, Maps dan Chrome yang digunakan setiap hari oleh jutaan orang dan organisasi di seluruh Malaysia serta rantau Asia Pasifik.
Rangkaian infrastruktur ini dijelaskan merangkumi kampus pusat data pertama Google di Elmina Business Park, Selangor, yang kini telah beroperasi, serta kampus baharu yang dirancang di Selangor dan Negeri Sembilan.
Menariknya untuk pembinaan kampus baharu Google yang dijangka bermula pada 2027 hingga 2028 – disasar berupaya menyumbang purata $1.1 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menyokong lebih 37,000 pekerjaan tempatan setahun, dengan menjana purata pendapatan buruh tahunan sebanyak AS$378 juta. Kira-kira 6,000 daripada pekerjaan ini dianggarkan dalam sektor pembinaan.
Apabila beroperasi kelak, kemudahan ini diunjurkan menyokong lebih 9,000 pekerjaan tempatan secara berterusan setiap tahun, dengan purata gaji 45% lebih tinggi daripada median nasional. Selain jangkaan ini, Google turut memiliki rancangan untuk kapasiti pengkomputeran Google di Selangor akan menyokong rantau Google Cloud di Malaysia yang bakal dilancarkan untuk pelanggan perusahaan kelak.