Google hari ini mengumumkan pembiayaan berjumlah $160 juta bagi infrastruktur air baharu untuk kegunaan bersama bagi menyokong keperluan masyarakat setempat serta operasi pusat data pada pasaran hadapan di Negeri Sembilan.
Seiring dengan komitmen itu, Google melantik Gamuda Berhad untuk bertindak membina takungan simpanan air pinggiran sungai dan loji rawatan air. Setelah akses ini selesai, kemudahan itu dijelaskan akan dimiliki oleh Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan), atau MBINS, iaitu badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguruskan aset negeri sebagai sebahagian daripada mandatnya.
Apabila beroperasi kelak, loji itu akan berupaya membekalkan 65 juta liter air terawat yang selamat diminum setiap hari untuk memenuhi keperluan kampus pusat data Google yang bakal dibangunkan di Springhill Industrial Park, Port Dickson serta menambah bekalan air negeri untuk kegunaan awam.
Kolam takungan ini untuk makluman akan terletak di sepanjang Sungai Linggi yang mana direka khas untuk menampung limpahan aliran sungai dan air hujan terutamanya pada musim hujan bagi membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitarnya yang sering dilanda banjir. Air mentah yang ditakung seterusnya akan disalurkan melalui loji rawatan untuk dirawat bagi kegunaan domestik dan komersial. Pada musim kemarau atau aliran sungai berkurangan pula, loji tersebut boleh menarik air secara terus daripada simpanan takungan berkenaan, sekali gus mengekalkan bekalan air yang mampan untuk komuniti tanpa mengganggu aliran semula jadi sungai.
Secara menyeluruh, pembangunan infrastruktur digital Google di Negeri Sembilan merangkumi sebuah kampus pusat data yang akan dibangunkan, infrastruktur air baharu untuk kegunaan bersama, serta program pendidikan dan pembangunan tenaga kerja yang bersasar. Syarikat itu juga akan menanggung sepenuhnya kos bekalan elektrik yang digunakan oleh kampus pusat datanya serta kos infrastruktur langsung yang diperlukan untuk menyambungkannya ke grid, di samping mematuhi semua peraturan tempatan yang berkenaan.
Menariknya kampus pusat data Google di Port Dickson ini dijangka akan menjadi antara yang paling cekap tenaga di dunia dan ketika operasi memiliki keupayaan pengkomputeran canggihnya akan menyokong perkhidmatan Google—termasuk Search, Maps dan Chrome —yang digunakan setiap hari oleh jutaan individu dan organisasi di seluruh Malaysia.