Pengasas rangkaian disebalik jenama Boat Noodle dan BananaBro, Tony Lim Chin Hau dilaporkan meninggal dunia pada usia 47 tahun.
Perihal ini dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi Boat Noodle dan BananaBro pada hantaran laman media kumpulan, menyifatkan pemergian Tony merupakan suatu kehilangan besar buat kumpulan perniagaan. Ia tidak sekadar membangunkan empayar perniagaan bahkan mencipta legasi tersendiri dalam arena makanan tempatan bersama rakyat Malaysia.
Berbekal prinsip Together We Grow, ia menjadi antara slogan yang menjadi pegangan Tony dalam meluaskan empayar perniagaannya di pasaran tempatan. Dan usaha itu diperlihat pada perluasan rangkaiannya pasaran semasa dengan memiliki lebih 50 cawangan Boat Noodle dan lebih 30 cawangan BananaBro di seluruh Malaysia.
Buat pengetahuan umum, selain dua jenama ini – Tony Lim turut pernah terlibat dalam perniagaan francais minuman Chatime di Kemboja bersama adiknya sekitar 2012 sebelum aktif membina jenama makanan sendiri.