Artikel

TikTok Shop Naikkan Caj Yuran Komisen Produk Terpilih Mulai 31 Oktober – Demi Kukuhkan Ekosistem

Bermula 31 Oktober ini, TikTok Shop Malaysia meningkatkan kadar yuran komisen bagi sebilangan kategori produk peniaga tempatan. Langkah penyesuaian ini dijangka mendorong pertambahan kos di pasaran bermula November depan.

Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop, Nur Azre menjelaskan kepada Rnggt minggu ini bahawa keputusan tersebut bukan diambil secara melulu, sebaliknya merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan semula bagi mengukuhkan ekosistem perdagangan sosial platform berkenaan.

Dengan skala komuniti Malaysia yang kini melonjak kepada 1.8 juta penjual dan 3 juta pencipta kandungan, penambahbaikan infrastruktur platform perlu dilaksanakan secara berterusan. Tanpa pembaharuan dari segi teknologi dan sokongan pemasaran, prestasi jualan peniaga berisiko menjadi mendatar sekiranya terus bergantung pada model operasi lama. Maka hasil kutipan yuran ini akan disalurkan secara terarah bagi menyediakan insentif serta dana sokongan khusus, terutamanya buat penjual mikro, peniaga tempatan, dan pencipta kandungan bagi mewujudkan persaingan yang lebih sihat serta mengelakkan peniaga daripada terus terperangkap dalam perang harga yang menjejaskan margin keuntungan.

Dalam pada itu, TikTok Shop turut bekerjasama rapat dengan kementerian berkaitan bagi memantau kos sara hidup rakyat dengan mengekalkan kadar komisen yang lebih kompetitif bagi barangan keperluan asas, seperti produk barangan segar dan barangan bayi.

Sokongan tersebut turut disusuli dengan pengenalan pelbagai inovasi ciri baharu yang direka khas untuk meningkatkan kadar pertukaran jualan, antaranya termasuk penawaran ciri Live Auction bagi bidaan secara langsung, kemudahan Offline Pickup yang membolehkan pembeli mengambil barangan terus di premis fizikal selepas memesan melalui beg kuning semasa siaran langsung, serta kemudahan pendahuluan tunai bagi membantu peniaga menguruskan aliran tunai dan modal kerja dengan lebih fleksibel.

TikTok Shop menegaskan bahawa struktur komisen yang dilaksanakan sentiasa bersifat dinamik mengikut evolusi pasaran semasa dan bukannya statik, yang mana ia terbukti menerusi pelarasan pada Jun lalu apabila yuran bagi hampir 30 subkategori telah dipotong mengikut keperluan industri. Secara keseluruhannya, pelarasan kadar ini berfungsi sebagai modal pusingan platform untuk membina ekosistem perniagaan digital yang lebih mampan, efisien, dan berdaya saing bagi semua pihak yang terlibat.