Artikel

Bonia Tutup 10 Butik, 37 Ruang Jualan – Kesan Tekanan Kos Pada 2026

Syarikat jenama fesyen global, Bonia Corporation Berhad kini mengambil langkah rasionalisasi operasi dengan menutup 47 lokasi jualan fizikalnya bagi tahun kewangan 2026.

Penutupan tersebut merangkumi 10 butik di pusat beli-belah utama serta 37 ruang jualan atau kaunter khas yang beroperasi di dalam gedung serbaneka di seluruh negara seperti Parkson, Isetan dan seumpamanya. Langkah strategik ini menandakan perubahan penting dalam pendekatan perniagaan jenama untuk mendepani dinamik pasaran tempatan yang semakin mencabar.

Keputusan penutupan premis ini menurut notis kepada Bursa Malaysia, didorong terutamanya oleh tekanan kos operasi yang kian meningkat, merangkumi lonjakan kadar sewa premis, kos tenaga serta caj perkhidmatan premis komersial. Bagi mengelakkan ketidakcekapan kewangan, Bonia memilih untuk menamatkan operasi di lokasi-lokasi yang mencatatkan margin keuntungan yang rendah serta aliran trafik pelanggan yang merudum. Usaha ini membolehkan syarikat meminimumkan kos pertindihan lokasi di kawasan yang berdekatan dan memberi tumpuan kepada saluran digital – yang kini memaparkan peningkatan perdagangan kumpulan kepada hampir 10%.

Tatkala melaksanakan penutupan cawangan ke atas sebilangan lokasi – Bonia dalam tempoh yang sama turut membuka 7 butik dan 21 ruang jualan di pusat membeli-belah baharu. Dan setakat ini kumpulan memiliki 111 butik berbanding 114 butik pada tahun 2025. Sementara jumlah ruang jualan di gedung serbaneka pula turut berkurang daripada 227 kepada 211.

Buat pengetahuan umum, di bawah Bonia Corp segmen jenama sendiri merangkumi Bonia, Sembonia, Braun Buffel dan CR2 (Carlo Rino). Disusuli jenama di bawah lesen pengedaran pula adalah Santa Barbara Polo & Racquet Club, Renoma, Valentino Rudy dan The Savile Row Company.