Artikel

BNM Perkenal Rangka Kerja Platform Dagangan Elektronik Baharu – Ganti Dasar 2019 Mulai November Ini

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mendedahkan Rangka Kerja Platform Dagangan Elektronik (ETP) yang telah disemak semula bagi menggantikan dasar asal yang dilaksanakan pada 2019, berkuat kuasa mulai 1 November 2026.

Langkah ini bertujuan memperkukuh kawal selia dan memastikan penyediaan perkhidmatan dagangan elektronik bagi pasaran wang borong serta pertukaran asing (FX) tempatan kekal relevan dengan perkembangan teknologi semasa.

Menerusi garis panduan terkini yang diterbitkan oleh Jabatan Operasi dan Pembangunan Pasaran BNM, semua pengendali platform yang layak diwajibkan mendapatkan kelulusan rasmi bank pusat sebelum menawarkan perkhidmatan dagangan berkenaan di Malaysia. Manakala bagi platform yang mengendalikan instrumen di luar skop pasaran wang dan FX, kelulusan berasingan perlu diperoleh daripada pihak berkuasa berkaitan mengikut perundangan yang terpakai.

Penyemakan semula rangka kerja ini dibuat secara berterusan dengan mengambil kira maklum balas serta dinamik persekitaran pasaran kewangan tempatan. Langkah penambahbaikan ini dijangka dapat meningkatkan ketelusan, kecekapan operasi, serta integriti sistem dagangan borong di samping mengekalkan kestabilan pasaran kewangan negara.