Artikel

Rakyat Malaysia Belanja 16.2% Bajet Bulanan Makan Di Luar, Atasi Makanan Rumah – KRI

Rakyat Malaysia kini gemar membelanjakan lebih banyak wang untuk makan di luar biarpun berdepan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi di pasaran semasa. Menurut laporan terbaharu Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk Income to Wellbeing: The State of Households 2026 isi rumah pada tahun 2024 secara puratanya memperuntukkan 16.2% daripada perbelanjaan bulanan untuk makan di luar.

Makanan di luar rumah kini mencatatkan purata perbelanjaan sebanyak RM902.70 sebulan, sekali gus mengatasi perbelanjaan bagi penyediaan makanan di rumah yang hanya mencatatkan RM875.80.

Dapatan KRI menjelaskan bahawa peningkatan ini sememangnya telah dijangka menerusi kajian terdahulu berikutan faktor perbandaran, pertumbuhan pendapatan, dan perubahan gaya hidup masyarakat setempat. Perubahan sedemikian secara tidak langsung meluaskan akses sumber makanan luar, menjadikan pilihan tersebut sebagai keutamaan penduduk secara berkala.

Peningkatan penyertaan tenaga buruh turut menyumbang kepada kekangan masa akibat waktu bekerja yang panjang serta kesesakan jalan raya. Malah, penyertaan ekonomi yang lebih terbuka dengan kemasukan lebih ramai wanita dalam pasaran kerja terus melonjakkan kebiasaan makan di luar rumah ini.

Menariknya, data dari tahun 2019 hingga 2024 ini menunjukkan perbelanjaan makan di luar meningkat merentas semua kumpulan pendapatan. Namun, peningkatan tersebut didapati lebih ketara dalam kumpulan pendapatan 80% terbawah (M40,B40), dengan purata perbelanjaan meningkat secara kumulatif hampir 1.5 kali ganda berbanding kumpulan 20% teratas (T20) yang meningkat kurang daripada 1.3 kali ganda.

Peningkatan berterusan ini bukan sahaja didorong oleh faktor kos dan gaya hidup, malah ia berpotensi memberi impak negatif kepada tahap kesihatan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Tabiat kerap makan di luar sering dikaitkan dengan kualiti pemakanan yang lebih rendah, seterusnya berisiko meningkatkan kadar obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini.