Artikel

Malaysia Lancar Pelan 5 Tahun Bersama 429 Ikhtiar – Atasi Kos Sara Hidup

Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) kini rasmi dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim – sebagai kerangka tindakan nasional 5 tahun bagi memantapkan pengurusan kos sara hidup secara menyeluruh demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pelan ini untuk makluman digubal sejajar dengan strategi utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dengan visi utama untuk meningkatkan taraf serta kualiti hidup rakyat, NCLAP30 menumpukan misinya kepada dua keutamaan penting iaitu meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan asas. Usaha ini diperkenal bagi menangani isu warisan pergerakan kadar upah dan gaji yang selama ini dilihat tidak setara dengan kadar inflasi tahunan.

Bagi menguruskan pelbagai dimensi kos sara hidup, NCLAP30 menggariskan sebanyak 35 strategi dan 429 ikhtiar sara hidup yang merentasi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Kesemua 429 ikhtiar ini dipecahkan kepada 8 kluster strategik iaitu:

  • pendapatan
  • makanan
  • kesihatan
  • pendidikan
  • pengangkutan
  • perumahan
  • utiliti
  • kluster umum

Struktur yang komprehensif ini memastikan pelbagai sektor asas kehidupan rakyat mendapat perhatian dan intervensi yang sewajarnya.

Pendekatan NCLAP30 ini akan terus ditambah baik secara berkala mengikut tuntutan serta cabaran semasa, termasuk ketidaktentuan konflik geopolitik dan geoekonomi. Dari segi tadbir urus, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai sekretariat telah diberi mandat baharu untuk memperkasakan peranan majlis berkenaan bagi memastikan setiap ikhtiar dilaksanakan dengan berkesan.