Artikel

Lebuhraya KL-Karak, LPT1 Rugi Lebih RM20,000 Setahun – Akibat Pemandu Tidak Bayar Tol

Ternyata syarikat pengendali dan pemegang konsesi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menanggung kerugian lebih RM20,000 setahun disebabkan tindakan pencerobohan tol pada laluan tersebut.

Mengikut laporan Bernama, AFA System & Services di bawah AFA Prime pihaknya merekodkan sekitar 3,000 transaksi pencerobohan setahun dengan purata 8 kes sehari berlaku. Dan berlandaskan perincian, didapati kenderaan Kelas 1 menjadi kumpulan terbesar yang sering melanggar peraturan pembayaran tol melibatkan kenderaan persendirian dan komersial biasa (95%), disusuli kenderaan Kelas 2 iaitu lori kecil, lori sederhana dan van besar (1.9%) dan Kelas 3 melibatkan trak kontena, lori besar dan jentera berat di jalan raya (1.3%).

Berdasarkan semakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), taktik mengekori rapat kenderaan di hadapan untuk melepasi palang tol merupakan kesalahan tertinggi, iaitu menyumbang sebanyak 63% daripada keseluruhan kes. Justeru, syarikat konsesi melihat wujudnya keperluan mendesak untuk memperketat tindakan undang-undang ke atas pesalah. Untuk rekod, di bawah Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984, individu yang menceroboh tol boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM5,000 atau hukuman penjara sehingga 1 tahun.