Prasarana Malaysia dijangka memuktamadkan keputusan perolehan bagi pelaksanaan Sistem Pembayaran Terbuka (OPS) menjelang akhir tahun ini, sekali gus kelak membolehkan pengguna pengangkutan awam membayar tambang menggunakan kad debit, kad kredit dan peranti menggunakan akses NFC serta dompet digital.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam maklum balas di Parlimen hari ini, penerapan OPS ini akan dilaksanakan secara meluas merentasi ekosistem Prasarana yang merangkumi perkhidmatan Rapid Rail dan Rapid Bus di Lembah Klang serta Pulau Pinang.
Menjelaskan isu kelewatan sebelum ini, pelaksanaan terpaksa ditangguhkan berikutan tender pertama yang dibuka tidak dapat dianugerahkan kepada mana-mana pihak. Keadaan ini memaksa Prasarana memulakan semula proses tender yang kini berada di peringkat akhir penilaian. Langkah ini perlu bagi memastikan pematuhan penuh terhadap prosedur perolehan dalaman serta standard pengendalian piawai (SOP) demi menjamin ketelusan, persaingan yang sihat, dan tatakelola terbaik memandangkan projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Prasarana.
Secara keseluruhannya, sistem OPS ini akan dijalankan secara berfasa sebaik sahaja projek bermula secara rasmi. Dalam tempoh 12 bulan pertama, sebanyak 30% peranti akses penumpang dan kutipan tambang di setiap stesen rel Rapid KL dijangka menyokong pembayaran terbuka, sebelum dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh 30 bulan. Manakala perkhidmatan Rapid Bus di Lembah Klang pula menyasarkan pelaksanaan lengkap dalam tempoh 15 bulan.
Menerusi pelaksanaan OPS ini, pengguna tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada token atau kad Touch ‘n Go fizikal semata-mata, sebaliknya menikmati pelbagai pilihan pembayaran yang lebih fleksibel dan moden.