Kajian terbaharu Lazada dan Cube Asia mendapati hanya 1 daripada 5 pengguna atas talian di Malaysia memenuhi kriteria selaku Pengguna Bijak, sekali gus menunjukkan perlunya maklumat lebih jelas dan perlindungan lebih baik ketika membeli-belah.
Menariknya data ini menunjukkan kumpulan pengguna bijak berbelanja 36% lebih banyak pada setiap bulan berbanding pengguna umum – yang sekali gus membawa kepada jurang perbelanjaan e-dagang secara tahunan bernilai RM3.67 bilion ($900 juta). Mengikut tinjauan data 2026 eCommerce Savvy Shopper Report: Southeast Asia ini mereka yang dikategorikan sebagai pengguna bijak merangkumi kumpulan yang sentiasa menyemak maklumat produk, memastikan nilai optimum, tahap keyakinan dan perlindungan yang tinggi dan memiliki kemahiran digital.
Setakat ini, peratusan pengguna bijak di Malaysia berada di paras 20% di bawah purata serantau 24%.
Biarpun kadar itu masih rendah namun potensi meningkatkannya dilihat tinggi susulan 17% pengguna tempatan dikategorikan pengguna hampir bijak iaitu memenuhi 3 daripada 4 penanda aras. Memahami potensi ini, Lazada menegaskan pentingnya pengendali platform untuk terus menambah baik ekosistem e-dagang. Ini bukan sahaja merangkumi faedah kepada peniaga, harga barangan yang lebih rendah dan penyediaan ciri perlindungan pembelian yang kukuh, malah turut mendidik pengguna mengenai kemudahan serta maklumat di sebalik pembelian yang dibuat secara atas talian.

