Masalah jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia kini telah menyelubungi sebahagian kawasan Asia Tenggara termasuklah Malaysia, sekali gus memicu krisis kesihatan awam dan lonjakan permintaan luar biasa terhadap peralatan udara bersih.
Berdasarkan maklumat daripada pembekal peralatan perubatan AA Alive menerusi laporan TheStar, jualan tangki oksigen mencatatkan peningkatan sehingga 35% bagi menampung keperluan pesakit yang mengalami kesukaran bernafas. Situasi sama turut direkodkan oleh peruncit barangan elektronik seperti Courts dan Gain City di Singapura, yang menyaksikan lonjakan jualan penapis udara sehingga 600% dan peningkatan permintaan sehingga 9 kali ganda sejak fenomena jerebu bermula.
Keadaan ini jelas menunjukkan ramai penduduk di Asia Tenggara peka akan kepentingan alat bantuan kesihatan ini bagi mengelakkan risiko yang lebih kritikal. Namun, peningkatan jualan ini bukanlah satu perkembangan yang positif, sebaliknya menjadi indikator jelas bahawa kualiti udara semasa kekal tercemar dan isu jerebu masih belum menemui jalan penyelesaian.