Artikel

Malaysia Rekod 13,743 Tan Metrik Sisa Bateri, Teliti Senarai Hitam Pesalah Terlibat

Sebanyak 13,743.15 tan metrik buangan bateri direkodkan pada pasaran Malaysia bagi tempoh 2021 sehingga 2025. Angka ini mengikut Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak hanya disumbangkan bateri kenderaan elektrik (EV) sahaja bahkan merangkumi buangan bateri yang dikelaskan di bawah kod SW103 iaitu bateri peranti elektronik pengguna, serta bateri industri dan komersial.

Berhubung persoalan yang dilontarkan di Parlimen untuk tindakan mewajibkan pengimport EV mengambil dan menanggung kos pengurusan bateri selepas tamat hayat – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjelaskan langkah itu masih belum ditetapkan. Namun NRES akui dalam proses memperkukuh penguatkuasaan terhadap pembuangan sisa elektronik haram melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] Fasa 2(b). Pindaan ini berpotensi menyenaraihitamkan syarikat serta pengimport yang berulang kali melanggar undang-undang, di samping memperincikan hala tuju pengurusan bateri EV secara lebih komprehensif di peringkat nasional.

Selari dengan usaha tersebut, Jabatan Standard Malaysia (JSM) dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sedang membangunkan MS 2818: Battery Passport for Electrified Vehicle, yang menjadi inisiatif pasport bateri pertama di rantau ASEAN.

Melalui pendekatan ini – identiti, sejarah penggunaan dan kitar hayat bateri direkodkan serta dikesan secara digital. Inisiatif ini dapat menyokong pengurusan bateri secara lebih sistematik bagi tujuan penggunaan semula, pengilangan semula dan kitar semula, di samping meningkatkan ketelusan serta mengurangkan risiko pelupusan bateri secara tidak terkawal.