Malaysia menyasarkan nilai pelaburan daripada kalangan pelabur modal teroka mencecah sekitar RM700 juta, di samping pertambahan kira-kira 2,000 hingga 3,500 syarikat pemula aktif menjelang tahun 2030.
Menurut Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, ikhtiar menerusi inisiatif KL20 ini bertujuan memperkukuh ekosistem syarikat pemula tempatan serta meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 teratas dunia. Pembangunan ekosistem ini memerlukan penglibatan dan sokongan padu daripada sektor modal serta pasaran bagi membolehkan pengasas meningkatkan skala dan nilai ciptaan perniagaan masing-masing.
Bagi menyokong agenda ini, pelbagai program utama dirangka seperti acara KL20@Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 19 Oktober di The Campus Ampang, Selangor. Acara ini memberi tumpuan kepada penskalaan syarikat pemula menerusi akses modal, rakan strategik, dan pasaran global bagi 8 sektor fokus termasuk tenaga, teknologi hijau, ekonomi digital, teknologi pertanian, serta kecerdasan buatan (AI). Penganjuran ini menyusuli siri terdahulu iaitu KL20@Penang yang menekankan automasi dan reka bentuk cip silikon, serta KL20@Johor yang memfokuskan Ekonomi Jingga dan kandungan digital.
Untuk makluman, KL20 bertindak sebagai enjin pelaksanaan yang menyelaras pelan seperti Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia 2021-2030 (SUPER) dan Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia (MVCR) secara bersepadu. Berdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2026, nilai ekosistem syarikat pemula Kuala Lumpur telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh setahun daripada $4.8 bilion kepada $9.0 bilion. Selain itu, peningkatan skor bakat serta tempoh purata matang syarikat pemula tempatan yang mencapai 8.8 tahun – iaitu lebih pantas berbanding purata serantau dan global, menunjukkan perkembangan positif dalam melahirkan syarikat pemula tempatan yang berdaya saing di peringkat dunia.