Artikel

Moomoo Malaysia Kini Perkenal Mod Pakar Bagi MooMoo AI – Tingkat Kedalaman Analisis Data Pelabur

Bersempena penganjuran MooFest 2026 pada edisi kali ini, Moomoo Malaysia kini melancarkan mod Expert bagi Moomoo AI yang menawarkan tiga tahap kedalaman analisis – Flash, Reason, dan Expert mengikut kerumitan pertanyaan pengguna.

Selain itu, ekosistemnya turut diperluas melalui Moomoo Skills dan Moomoo MCP yang membolehkan pengguna menghubungkan data pasaran secara langsung dan portfolio peribadi mereka ke pembantu AI luaran. Bersama pengenalan inovasi ini, Moomoo Malaysia turut memberi pratonton cawangan fizikal keempatnya yang bakal dibuka di Pulau Pinang.

Berdasarkan perkongsian acara, kini lebih 58,000 rakyat Malaysia, atau 14.5% daripada pengguna aktif yang membiayai akaun, telah menggunakan ciri AI platform ini dalam tempoh sebulan yang lalu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Dennis Jee, platform berkenaan kini telah melepasi pencapaian 3 juta muat turun, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai platform perdagangan No. 1 di Malaysia berasaskan jumlah muat turun dan pengguna aktif harian.

MooFest 2026 turut menyerlahkan perbincangan strategik menerusi sesi Mega Panel bertajuk Where Is Global AI Capital Going Next? yang menampilkan pakar industri tempatan dan antarabangsa, termasuk wakil daripada Universiti Taylor’s, Cboe, Bursa Malaysia, dan Moomoo Malaysia. Sesi panel ini membincangkan peluang pasaran modal tempatan dalam meraih nilai daripada perkembangan pesat AI global. Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, turut menyokong usaha memantapkan pasaran tempatan bernilai RM2.1 trilion itu agar kekal bertenaga, telus, serta menyediakan kepelbagaian pilihan pelaburan merentasi lebih 1,100 syarikat tersenarai demi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.