Artikel

CTOS Digital Jangka Hasil Terjejas RM16 Juta – Akibat Isu Serangan Siber

CTOS Digital menjangkakan pendapatan syarikat akan terjejas sebanyak RM16 juta bagi tahun kewangan 2026 susulan insiden keselamatan siber yang berlaku ke atas khidmat perniagaan penggunanya.

Dalam satu kenyataan rasmi kepada Bursa, lembaga pengarah syarikat maklum bahawa gangguan ini telah menyebabkan beberapa perkhidmatan pelaporan kredit utama, termasuk Skor CTOS dan laporan berkaitan CCRIS, terpaksa dihentikan sementara waktu manakala perkhidmatan lain terus beroperasi seperti biasa.

Kesan kewangan yang dianggarkan itu mengambil kira andaian bahawa gangguan perkhidmatan terbabit berlanjutan sehingga minggu ketiga Oktober 2026. Selain penurunan hasil, Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) juga dijangka merosot sebanyak RM12 juta bagi keseluruhan tahun 2026. Menurut CTOS, setiap minggu tambahan ketiadaan perkhidmatan tersebut dijangka memberi kesan susulan terhadap hasil dan PATAMI masing-masing sebanyak RM2.5 juta dan RM1.3 juta.

Bagi menangani isu berkenaan, CTOS telah melaksanakan pelbagai langkah pemulihan serta kawalan keselamatan intensif dan kini sedang menjalankan semakan bebas bersama pakar industri berkaitan untuk mengatasi isu berbangkit. Syarikat komited untuk memulihkan semula perkhidmatan yang terjejas secepat mungkin dan memberi jaminan kepada pemegang saham, pelanggan, serta rakan perniagaan bahawa operasi akan terus dijalankan secara bertanggungjawab, telus dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.