SoftBank Group Corp, Grab Holdings Limited, dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) telah memeterai Perjanjian Rangka Kerja bagi meneroka pembangunan platform infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan digital di Sarawak.
Kerjasama tiga pihak ini bertujuan untuk merangka pelan tindakan pembangunan AI secara berperingkat serta meneroka pelbagai peluang di sepanjang rantaian nilai AI, merangkumi teknologi termaju, robotik, dan pembangunan modal insan tempatan.
Kesepakatan ini menggabungkan kekuatan teras daripada ketiga-tiga organisasi bagi membentuk ekosistem teknologi yang kukuh. Di mana SoftBank bakal menyumbangkan kepakaran global dalam infrastruktur AI, semikonduktor, dan AI fizikal, manakala Grab pula membawa ekosistem digital Asia Tenggara serta keupayaan penerapan AI. Dan PETROS memainkan peranan penting sebagai pembekal penyelesaian tenaga dan infrastruktur mampan melalui Sarawak Gas Roadmap dan Kuching Low-Carbon Hub (KLCH) bagi memacu pembangunan berasaskan teknologi rendah karbon.
Inisiatif ini menyokong aspirasi Sarawak untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, di samping menjadikan Sarawak sebagai pusat infrastruktur AI utama di rantau ini. Selain itu, kerjasama strategik ini selari dengan agenda ekonomi digital negara menerusi kerangka Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi menarik pelaburan bernilai tinggi serta memperkasa bakat tempatan.