Kementerian Kewangan (MOF) kini menerima teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 apabila tindakan mengutip tunggakan pinjaman tidak mencapai sasaran yang digariskan. Buat pengetahuan umum, MOF hanya berjaya mengutip 5% sahaja daripada tunggakan pinjaman 2025 iaitu RM0.465 bilion daripada keseluruhan tunggakan pinjaman berjumlah RM9.273 bilion yang dicatatkan pada 2025.
Buat pengetahuan umum, jumlah tunggakan ini melibatkan 30 peminjam dan 190 pinjaman (RM8.084 bilion). Apa yang membimbangkan adalah daripada 190 pinjaman itu, terdapat 66 pinjaman berjumlah RM4.637 bilion (57.4%) didapati tidak pernah dibayar balik sejak jadual bayaran balik berkuat kuasa antara tahun 1981 hingga 2025. Ini bermakna terdapat pinjaman, tidak pernah dibayar balik dalam tempoh 45 tahun.

Dan berdasarkan pengamatan, tunggakan lebihi 6 tahun mencatatkan angka tertinggi dengan RM5.024 bilion – iaitu menyumbang 62.1% daripada keseluruhan jumlah tunggakan tersebut. Melihat kepada kelemahan langkah pengutipan ini, MOF telah melaksanakan langkah penyusunan semula pinjaman namun perubahan tempoh bayaran balik yang dilanjutkan antara 10 hingga 40 tahun dilihat kekal memberi risiko kepada kerajaan – rentetan kehilangan potensi kutipan prinsipal dan faedah.
Setakat ini LKAN mencadangkan MOF untuk tambah-baik pendekatan pemantauan dan penguatkuasaan termasuklah pengeluaran notis tuntutan serta tindakan perundangan ke atas pihak yang tidak mematuhi perjanjian tanpa sebab munasabah. Selain itu penilaian keupayaan kewangan bersama analisis risiko yang lebih ketat perlu terus diperkasakan bagi memastikan aliran tunai pinjaman diraih lebih baik pada pasaran hadapan.
Berdasarkan data LKAN ini, antara peminjam tertinggi yang tidak pernah membayar balik pinjaman sehingga 31 Disember 2025 adalah Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Kerajaan Negeri Kedah, Kerajaan Negeri Sembilan dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
