Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan Kalendar Akademik Tahun 2027 bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan akan bermula 4 Januari 2027 sehingga 2 Disember 2027 bagi sekolah di negeri Kumpulan A manakala tempoh 4 Januari 2027 hingga 3 Disember 2027 pula buat sekolah di negeri Kumpulan B.
Buat pengetahuan umum Kumpulan A melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu sementara Kumpulan B adalah bagi sekolah di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
KPM juga telah menyelaras tarikh-tarikh bagi cuti perayaan sepanjang tempoh sesi persekolahan tahun 2027, yang melibatkan perayaan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Hari Deepavali, Hari Raya Korban, Pesta Kaamatan, Hari Gawai Dayak, Hari Wesak dan Hari Krismas.
Selain itu, KPM juga telah menetapkan tarikh pembukaan sesi persekolahan tahun 2028 akan bermula pada 3 Januari 2028 bagi Kumpulan A dan Kumpulan B. Penetapan awal ini sekali gus memastikan keselarasan pembukaan sesi persekolahan tahun 2028 di seluruh Malaysia lebih lancar pada keperluan aktiviti pembelajaran mahupun agenda pengurusan persekolahan.