Artikel

Tambang KLIA Ekspres, KLIA Transit Naik Kepada RM65 – Mulai 1 Januari 2027

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) bakal membuat penyesuaian semula kadar tambang bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit bermula 1 Januari 2027. Langkah ini menandakan pelarasan tambang yang pertama dilakukan oleh syarikat pengendali berkenaan sejak tahun 2016.

Pelarasan ini diambil berikutan peningkatan kos operasi serta penyelenggaraan yang semakin meningkat demi memastikan kelangsungan perkhidmatan rel lapangan terbang tersebut.

Menerusi pelarasan baharu ini, tambang sehala bagi dewasa untuk perjalanan antara KL Sentral dan Terminal 1 serta Terminal 2 KLIA akan mengalami kenaikan daripada RM55 kepada RM65. Selain laluan utama tersebut, kadar tambang bagi sektor-sektor perkhidmatan rel yang lain juga akan disesuaikan mengikut kadar baharu yang ditetapkan. Penyesuaian ini adalah penting untuk menyokong penyelenggaraan jangka panjang dan mengekalkan kualiti perkhidmatan berprestasi tinggi untuk para pengguna.

Bagi mengurangkan impak kenaikan ini, ERL kini sedang bekerjasama rapat dengan rakan rakan kongsi untuk menawarkan potongan tiket eksklusif sehingga 30% bermula tahun 2027. Maklumat lanjut serta perincian mengenainya akan diumumkan kelak sebaik sahaja segala perancangan dimuktamadkan.