Artikel

Perbezaan Harga Minyak Masak Buka Ruang Manipulasi, Penyeludupan – Kajian UKM

Jurang ketara antara harga minyak masak bersubsidi dengan harga pasaran terbuka, dikenal pasti antara punca yang membuka ruang kepada tindakan ketirisan dan manipulasi pada pasaran semasa.

Dapatan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Keberkesanan Institusi dan Mekanisme Pemberian Subsidi Barang-Barang Kawalan kepada Rakyat bagi Memperkukuhkan Tatakelola dan Integriti yang dibentangkan pada Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah hari ini – menjelaskan pelarasan harga tersebut wajar diteliti semula.

Hal ini kerana minyak masak paket bersubsidi dijual pada harga RM2.50, manakala harga minyak masak bukan subsidi di pasaran semasa berada pada julat RM7 hingga RM9. Perbezaan harga yang besar ini dilihat mendorong sebilangan pihak untuk mengaut keuntungan berlebihan secara tidak jujur.

Selain merangsang tindakan manipulasi tempatan, keadaan tersebut turut menarik perhatian pihak asing, khususnya di kawasan sempadan, untuk menyeludup dan mendapatkan minyak masak bersubsidi bagi tujuan penjualan di pasaran gelap.

Penyelidik Fakulti Undang-Undang UKM, Dr. Nur Atheefa Sufeena, memaklumkan bahawa cadangan penstrukturan semula ini bukanlah sesuatu yang baharu, memandangkan Laporan Ketua Audit Negara 2025 turut pernah membangkitkan isu jurang antara harga siling bersubsidi dengan harga pasaran terbuka. Maka, pihak berkepentingan perlu meneliti semula usul berkenaan serta memperkenalkan pendekatan yang lebih berkesan untuk mengekang ketirisan minyak masak bersubsidi di pasaran hadapan.