Artikel

73% Akaun Simpanan Bawah RM10,000 Dikuasai Rakyat Bawah 55 Tahun – PIDM

Perubahan demografi di Malaysia yang kelak akan merekodkan lebih ramai warga emas dalam kalangan masyarakat negara dilihat telah mendorong perubahan ketara pada pemilikan aset kewangan. Di mana kini didapati golongan warga emas menguasai jumlah deposit simpanan pada pasaran semasa.

Data terkini Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menunjukkan syer jumlah deposit yang dimiliki oleh rakyat Malaysia berumur 65 tahun ke atas telah meningkat kepada 38.2% sejak tahun 2015. Peningkatan ini secara amnya adalah corak semula jadi tindakan pengumpulan harta sepanjang hayat. Biarpun normal, situasi ini memberi kesan dan cabaran besar kepada ekonomi negara.

Sebagai perincian, 70% daripada akaun bernilai melebihi RM100,000 kini dikuasai oleh individu berumur 55 tahun ke atas. Sebaliknya, sebanyak 73% daripada akaun yang mempunyai baki kurang daripada RM10,000 dipegang oleh golongan belia dan pekerja berumur bawah 55 tahun. Keadaan ini menyerlahkan cabaran kewangan yang dihadapi oleh generasi muda terutamanya mereka dalam julat umur 35 hingga 44 tahun yang terhimpit dengan komitmen sara hidup – sekali gus mengehadkan keupayaan mereka untuk membina daya tahan kewangan yang kukuh pada usia awal.

Secara keseluruhannya, tumpuan simpanan kepada warga tua ini memberi amaran jelas memandangkan Malaysia dijangka melangkah ke fasa masyarakat tua menjelang tahun 2048. Dengan pertumbuhan simpanan individu secara purata berkembang pada kadar 3.7% setahun, fokus utama kini tidak seharusnya tertumpu kepada pemeliharaan simpanan persaraan semata-mata, malah perlu merangkumi strategi menggalakkan generasi muda menabung dengan lebih efektif.