Artikel

Penilaian Keberkesanan Dasar Gaji Progresif – Berpotensi Dilaksana Akhir Tahun Ini

Kerajaan dijangka melaksanakan kajian komprehensif bagi menilai keberkesanan Dasar Gaji Progresif seawal penghujung tahun ini atau pada awal tahun depan. Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan penilaian itu akan meneliti secara mendalam kaedah pemberian insentif kerajaan serta sejauh mana majikan meningkatkan gaji secara sukarela berikutan imbuhan yang disediakan, sebelum dasar yang sedang berjalan itu tamat pada hujung 2027.

Setakat ini, laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan peningkatan purata gaji dan upah warganegara sebanyak 4.1% kepada RM3,803, manakala penengah gaji dan upah bulanan turut meningkat 5.3% kepada RM2,940.

Mengulas peningkatan berkenaan, Akmal Nasrullah menjelaskan bahawa kenaikan gaji secara nominal perlu diteliti secara bersama dengan kos sara hidup dan persekitaran inflasi negara. Menurut beliau, semakan kadar gaji minimum turut dibuat secara berkala bersandarkan perkembangan ekonomi semasa serta komitmen yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Sebagai sebahagian daripada pendekatan keseluruhan kerajaan, pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 sebulan telah dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Ogos 2025 kepada semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja, meningkat berbanding RM1,500 sebelumnya. Penilaian keberkesanan Dasar Gaji Progresif ini dijangka menjadi landasan penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara bergerak seiring dengan kesejahteraan gaji rakyat.