Artikel

Malaysia Antara Pasaran Papar Minat Tinggi Guna Mata Wang Digital – HSBC

Malaysia kini menonjol antara pasaran yang bersedia di rantau Asia Pasifik dalam memodenkan pengurusan kewangan korporat. Menurut laporan terkini HSBC, Redefining Treasury in Asia Pacific 2026: Voices of Treasury, sebanyak 50% responden kalangan pengurus kewangan di Malaysia menyatakan kecenderungan tinggi untuk menggunakan mata wang digital dalam tempoh dua tahun akan datang.

Angka ini jauh mengatasi purata serantau yang sekadar mencatatkan 19%, sekali gus meletakkan komuniti perbendaharaan tempatan di hadapan dalam persediaan mentransformasikan ekosistem pembayaran korporat menjelang 2028.

Dorongan utama di sebalik ketersediaan ini berpunca daripada potensi mata wang digital dalam merancakkan kecekapan operasi dan pengurusan aliran tunai. Sebanyak 73% responden tempatan menganggap peningkatan kecekapan perbendaharaan sebagai sebab utama penggunaan, manakala 50% lagi menekankan keperluan pengurusan kecairan yang lebih mantap. Selain mata wang digital, keyakinan terhadap Kecerdasan Buatan (AI) turut melambung tinggi dengan 76% responden yakin bahawa AI akan membawa manfaat luar biasa kepada sektor perbendaharaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Namun, perlu diakui masih terdapat pelbagai kelompongan pada penerapan teknologi di pasaran semasa. Lebih lapan daripada 10 responden (82%) mengakui sektor perbendaharaan masih ketinggalan dalam adaptasi teknologi berbanding bahagian organisasi yang lain. Halangan terbesar yang dikenal pasti bukanlah kekangan kos atau tenaga pakar, sebaliknya kesukaran mengintegrasikan teknologi baharu ini ke dalam sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) sedia ada serta infrastruktur legasi yang berasingan.

Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) ialah sistem perisian bersepadu yang mengurus operasi utama sesebuah organisasi seperti kewangan, sumber manusia, jualan dan rantaian bekalan

Di samping isu integrasi, kesedaran terhadap risiko keselamatan dan jenayah siber kekal menjadi keutamaan syarikat tempatan. Responden di Malaysia meletakkan tahap ancaman jenayah siber pada skor 8.4 daripada 10 – antara yang tertinggi di rantau ini. Secara keseluruhannya, dapatan ini membuktikan bahawa pengurus kewangan di Malaysia mengambil pendekatan pragmatik mereka bersedia memanfaatkan kelebihan mata wang digital dan AI untuk memacu perniagaan menjelang 2028, namun pada masa yang sama menuntut infrastruktur pasaran dan kawalan keselamatan yang kukuh bagi mendepani risiko.