Artikel

Perbelanjaan 2027 Dijangka Lebih Terhad, Defisit Fiskal Malaysia Turun Ke 3.4% – JP Morgan

Ketidaktentuan pasaran, disusuli paras hutang awam yang kekal tinggi – Malaysia dijangka menumpukan aliran pengagihan semula pada Belanjawan 2027 kelak berikutan kapasiti penambahan perbelanjaan dilihat lebih terhad kesan persekitaran semasa.

Analisis bank pelaburan global, JP Morgan menunjukkan defisit fiskal negara dijangka mengecil kepada 3.4% daripada KDNK pada 2027. Kekangan ini berpotensi mendorong kerajaan mengecilkan ruang perbelanjaan baharu dan mengamalkan kawalan kewangan yang lebih berdisiplin demi menjaga kestabilan ekonomi jangka sederhana.

Penjimatan dijangka diperoleh menerusi unjuran subsidi bahan api yang lebih rendah seiring jangkaan penurunan harga minyak dunia. Menerusi kenyataan pra-belanjawan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha meredakan kos sara hidup rakyat melalui program bantuan tunai dan penambahbaikan rangka kerja subsidi, walaupun langkah ini mungkin menyederhanakan peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan.

Meskipun tanggungan subsidi bahan api melonjak kepada RM40 bilion berbanding peruntukan asal RM15 bilion pada 2026, tekanan kewangan ini berjaya diimbangi oleh pertumbuhan KDNK yang kukuh serta peningkatkan kutipan cukai dan royalti petroleum. JP Morgan optimis bahawa sasaran defisit kerajaan masih boleh dicapai, namun beberapa langkah tambahan seperti pembayaran dividen khas daripada Petronas mungkin masih diperlukan untuk menampung baki kekurangan hasil negara.