Menyedari sistem pembayaran sering menjadi cabaran utama pemain e-dagang yang beroperasi di pelbagai negara – Adyen, syarikat teknologi kewangan global kini bekerjasama dengan Limitless Technology untuk memudahkan infrastruktur tersebut.
Melalui kerjasama ini, Limitless Technology bertindak menggabungkan 4 portal pembayaran yang berbeza sebelum ini kepada satu platform Adyen yang terpusat. Langkah ini membolehkan syarikat menguruskan transaksi merentasi 6 pasaran Asia-Pasifik, termasuk Malaysia, Singapura, Australia, Hong Kong, Filipina, dan Indonesia. Malah, proses peralihan ini berlaku dengan sangat pantas apabila lebih 10 kedai atas talian berjaya dilancarkan semula dalam tempoh seminggu sahaja.
Penyatuan sistem pembayaran ini memberi kelebihan besar terutamanya semasa musim puncak jualan seperti hari perayaan khas tertentu mamhupun hari peristiwa. Dengan teknologi Adyen, proses pembayaran kini menjadi lebih lancar tanpa memerlukan pengalihan halaman, sekali gus mengurangkan masalah pembeli membatalkan pesanan.
Kajian tempatan turut menunjukkan bahawa ramai pengguna di Malaysia cenderung membatalkan pembelian sekiranya berdepan dengan ralat pembayaran semasa membuat bayaran.
Selain mempermudahkan pengalaman pelanggan, platform terpusat ini membantu Limitless Technology menguruskan laporan kewangan dengan lebih cepat dan tepat di peringkat dalaman. Data transaksi yang dikumpul turut memberi gambaran jelas mengenai kaedah pembayaran pilihan pelanggan di setiap negara. Ini membolehkan syarikat membuat keputusan perniagaan yang lebih bijak dan merancang tawaran promosi yang lebih efektif selari dengan perkembangan perniagaan mereka pada masa hadapan. Secara menyeluruh antara jenama besar yang meraih akses ini meliputi Flower Chimp, CakeRush, Bloomeroo, LVLY, dan Happy Bunch.