Grab Holdings hari ini mengumumkan bersetuju untuk mengambilalih 60% pegangan dalam Atome Financial secara tunai bernilai $1.49 bilion sekitar RM6.1 bilion.
Langkah strategik ini kelak akan menggabungkan platform perkhidmatan kewangan digital Atome – termasuk tawaran Bayar Nanti, Pakai Lekas (BNPL) serta pinjaman pengguna – terus ke dalam ekosistem perkhidmatan kewangan Grab di rantau Asia Tenggara.
Menariknya penggabungan ini menurut notis rasmi Grab akan memberi faedah besar kepada hampir 54 juta pengguna aktif bulanan Grab dan rangkaian lebih 30,000 jenama rakan niaga Atome. Dengan menyatukan kekuatan infrastruktur Atome bersama data ekosistem Grab, kedua-dua syarikat menyasarkan penawaran pelbagai pilihan pembiayaan harian yang lebih pantas, mudah, dan selamat di lima pasaran utama iaitu Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia, serta Thailand.
Berbalik kepada kepentingan Atome, Grab bersetuju untuk membeli baki 40% pegangan saham lagi kira-kira dua tahun selepas fasa pertama selesai iaitu sekitar suku ketiga 2027. Harga bagi fasa kedua ini bagaimanapun tidak ditetapkan secara khusus, sebaliknya bergantung kepada prestasi kewangan sebenar Atome berdasarkan pasaran ketika itu.