Artikel

Pahang Pacu Aliran Eksport Durian – Bangunkan Sistem Pengesahan Ketulenan Musang King Negeri

Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah memeterai kerjasama dengan DSR Taiko Berhad bagi membangunkan piawaian asal usul menerusi sistem eksport Durian Musang King Pahang (PMSK). Kerjasama ini merangkumi pembangunan sistem pengesahan, pensijilan, dan verifikasi, di samping memperkenalkan label asal PMSK sebagai jaminan ketulenan serta kualiti bagi buah keluaran negeri tersebut.

Ciri terbaharu ini berfungsi sebagai ‘pasport digital’ bagi PMSK untuk menangani isu penipuan buah tiruan di pasaran. Langkah ini juga membantu pekebun tempatan memperoleh tawaran harga yang lebih adil di peringkat global. Untuk memastikan kebolehpercayaan, label ini dilindungi di bawah Musang King Integrated Tracking System yang membolehkan pengguna mengesahkan ketulenan dan menjejaki asal usul buah secara pantas.

Sokongan akses teknologi ini bukan sahaja memperkukuh pasaran domestik, malah berpotensi merancakkan lagi permintaan di peringkat antarabangsa. Usaha ini selari dengan matlamat negara untuk meletakkan sasaran nilai eksport durian Malaysia mencapai RM1.8 bilion menjelang tahun 2030.