Artikel

Mondelez Labur RM90 Juta Tingkatkan Kapasiti Penghasilan Cadbury – Di Shah Alam

Mondelēz International secara rasmi melancarkan kemudahan Crumb Tower bernilai RM90 juta di kilang Cadbury Confectionery, Shah Alam hari ini. Menjadikan ia pelaburan tunggal terbesar syarikat itu di kilang berkenaan setelah bertapak sejak 1974.

Kemudahan baharu ini untuk makluman akan mengukuhkan keupayaan pembuatan coklat negara menerusi automasi dan teknologi termaju, malah memposisikan Malaysia sebagai pusat strategik pengeluaran makanan bernilai tinggi di peringkat rantau dan global.

Ini kerana sebelum ini, penghasilan coklat Cadbury di Malaysia kekal bergantung kepada pengeluaran chocolate crumb dari negara luar seperti Afrika dan Australia. Maka dengan penambahan kemudahan tersebut, ini akan membina ketahanan rantai bekalan Malaysia dalam mewujudkan kapasiti baharu untuk menyokong pasaran di luar Asia Tenggara.

Buat pengetahuan umum, bangunan Crumb Tower ini menyepadukan tiga sistem termaju termasuk T-reactor generasi baharu yang pertama seumpamanya di Malaysia yang direka mengikut piawaian keselamatan ketat serta integrasi keperluan Halal di setiap peringkat pengeluaran. Selain daripada peningkatan kapasiti pengeluaran, pelaburan ini turut meluaskan kapasiti pasaran pekerjaan tempatan.

Di samping penerapan automasi serta kawalan digital terbaharu ini sekali gus membolehkan jurutera dan pengendali tempatan membina kepakaran teknikal khusus di Malaysia. Menariknya menerusi kemudahan ini, pembekal tempatan turut layak menyokong operasi Mondelēz di peringkat global, secara langsung memperluas manfaat pelaburan ini ke seluruh rantaian pembuatan tempatan.