Artikel

8.5 Juta Pekerja Pilih Kekal Carum LINDUNG 24 Jam

Seramai 8.5 juta pekerja (87.6%) kini direkodkan memilih kekal untuk mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam setelah tempoh pilihan keluar berakhir pada 31 Ogos lalu.

Penerimaan ini jelas menunjukkan majoriti pekerja terus mengutamakan kepentingan perlindungan sosial mereka khususnya ketika di luar waktu bertugas. Dengan kepercayaan ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada sidang hari ini optimis memberikan perkhidmatan yang setimpal bersama kumpulan pekerja.

Setakat ini sahaja, sekitar 6,330 tuntutan telah diterima dalam tempoh 3 bulan pertama dengan purata 69 kes sehari. Berdasarkan tuntutan itu, jumlah keseluruhan bayaran faedah yang disalurkan kini telah mencapai RM9.97 juta.

Pampasan itu untuk makluman meliputi Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Bayaran Ganti Perbelanjaan Perubatan, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Orang Tanggungan serta Alat Pemulihan dan Implan. Menariknya data tuntutan memaparkan golongan pendapatan rendah menjadi antara penerima utama perlindungan ini dengan 74% pekerja yang membuat tuntutan adalah bergaji bawah RM3,500.

Maka dengan manfaat skim tersebut, ia sekali gus memberi kelegaan kos dan keperluan dana kepada pekerja terkesan disebabkan kemalangan bukan bencana kerja.