Artikel

CTOS Kini Perkenal Aplikasi Baharu – Bersama Penambahbaikan Ciri Skor Kredit

CTOS Digital Berhad kini melancarkan aplikasi baharu bagi memudahkan pengguna memantau kedudukan pendedahan kredit, memahami faktor yang mempengaruhi skor kredit, serta mengambil langkah awal terhadap potensi penyalahgunaan identiti.

Melalui aplikasi ini, pengguna boleh memantau baki tunggakan dan kelewatan pembayaran secara terus menerusi satu papan pemuka yang bersepadu. Dan bagi meningkatkan perlindungan pengguna, di bawah ciri CTOS SecureID akses ini berupaya memaklumkan sekiranya berlaku potensi pendedahan maklumat di dark web, permohonan kredit baharu, serta sebarang perubahan pada had kredit atau alamat berdaftar.

Selain semakan peribadi, laporan kredit perniagaan turut disediakan. Pengguna boleh mengakses ringkasan awal mahupun laporan komprehensif yang merangkumi penyata kewangan, maklumat pengarah, pemegang saham, dan sejarah litigasi sesebuah syarikat. Aplikasi ini turut dilengkapi fungsi CTOS CreditFinder yang membolehkan pengguna membuat perbandingan produk kredit daripada pelbagai penyedia berasaskan ciri, faedah, dan yuran penawaran.

Menerusi penambahbaikan aplikasi baharu ini, CTOS menyasarkan kadar celik kewangan yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat tempatan. Untuk rekod, platform digital CTOS kini berkhidmat kepada lebih 5 juta pengguna di Malaysia. Maka untuk ketahui lanjut, semua pengguna perlu memuat turun semula aplikasi CTOS bagi menikmati pembaharuan pada ciri aplikasi di telefon pintar anda.