Artikel

BNM Umum OPR Kekal 2.75% – Kadar Ansuran Pinjaman Stabil, Kuasa Beli Terpelihara

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%, sekali gus memberi kelegaan kepada pasaran kewangan tempatan dan isi rumah di seluruh Malaysia.

Keputusan kekal neutral itu mencerminkan pertumbuhan ekonomi di Malaysia terus mampan – yang mana tidak sekadar aliran kuasa beli kekal terpelihara tetapi segmen pinjaman tidak mengalami sebarang perubahan. Sebagai penjelasan, bagi pengguna dan peminjam individu – ini bermakna bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman perumahan serta pembiayaan perniagaan berkadar boleh ubah kekal stabil tanpa sebarang kenaikan kos tambahan. Kestabilan ini membolehkan isi rumah menguruskan perbelanjaan bulanan serta aliran tunai dengan lebih teratur dan berkesan.

Manakala untuk aliran kuasa beli pula – pengekalan OPR pada tahap 2.75% berada pada paras yang sangat bersesuaian. Kadar ini tidak terlalu rendah hingga mencetuskan permintaan pasaran secara melampau yang boleh melonjakkan harga barangan dan perkhidmatan. Pada masa yang sama, ia tidak terlalu tinggi hingga menjejaskan keupayaan perbelanjaan asas isi rumah.

BNM mengakui bahawa kos pengeluaran global dan harga komoditi kekal tinggi berikutan ketidaktentuan geopolitik. Namun, pindahan kos kepada harga pengguna berjaya dibendung menerusi langkah-langkah dasar dalam negeri serta keadaan permintaan tempatan yang stabil.

Dengan kadar inflasi yang kekal terkawal pada kitaran 1.8% hingga 2.0%, kuasa beli rakyat berupaya dipelihara daripada terhakis, sekali gus membolehkan perbelanjaan isi rumah terus menjadi pemacu utama ekonomi tempatan.

Secara menyeluruh, untuk 6 bulan pertama 2026 – prestasi ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.7%, disokong oleh prestasi eksport yang melampaui jangkaan serta permintaan dalam negeri yang utuh. BNM menjangkakan pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan tahun 2026 akan berada pada sekitar 5%, dipacu oleh sektor luaran khususnya permintaan mantap terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport berkaitan teknologi di samping perbelanjaan sektor pelancongan yang berterusan.