Biarpun diakui penggunaan duit syiling 5 sen semakin berkurangan, namun permintaan masih lagi tersedia dalam beberapa sektor – Bank Negara Malaysia (BNM) pada laporan Buletin TV3 menjelaskan pengeluaran syiling 5 sen kekal dilaksanakan bagi memenuhi permintaan di pasaran semasa.
Penjelasan Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour ini memperincikan permintaan terhadap syiling tersebut semakin merosot namun pengeluarannya diteruskan demi prinsip inklusiviti ekonomi, terutamanya bagi memenuhi keperluan sektor peruncitan. Pendekatan bersikap tunggu dan lihat ini diambil bagi memastikan kebajikan semua golongan pengguna terjamin sebelum sebarang keputusan drastik dibuat.
BNM juga sedar terdapat pertikaian berhubung cadangan memansuhkan syiling ini – antaranya Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) menyatakan kebimbangan penarikan syiling 5 sen akan mencetuskan risiko inflasi kerana peniaga cenderung menggenapkan harga barangan ke atas, sekali gus meningkatkan kos sara hidup. Sebaliknya, wakil ekonomi HELP University berpendapat syiling fizikal ini tidak lagi memberi manfaat ekonomi yang signifikan memandangkan transaksi nirtunai seperti dompet digital wujud sebagai alternatif. Yang mana kos pengeluaran syiling dipercayai melebihi nilai mukanya.
Namun jelas Galeri Numismatik BNM, sistem mata wang negara telah mengalami tiga fasa evolusi sejak 1967. Evolusi ini memperlihatkan trend pengecilan saiz dan berat syiling bagi mengurangkan kos pengeluaran serta meningkatkan kecekapan pengendalian telah dilaksanakan. Maka isu kos tidak menjadi punca utama pada tindakan pemansuhan sebarang duit syiling. Penamatan edaran syiling 1 sen dan RM1 pada Siri Ketiga sebelum ini membuktikan bahawa struktur denominasi syiling Malaysia sentiasa disesuaikan mengikut kecekapan dan peredaran zaman.
Selain pertikaian pemansuhan syiling 5 sen ini, Malaysia turut akui meneruskan Sistem Penggenapan 5 Sen yang telah diperkenalkan sejak 1 April 2008. Yang mana sekiranya keseluruhan bil pengguna berakhir dengan 1,2,6 dan 7 sen maka ia akan diturunkan kepada 5 sen yang terdekat. Dan jika bil pengguna berakhir pada 3,4,8 dan 9 sen terdekat maka ia akan dinaikkan kepada 5 sen terdekat.

Dengan sistem ini, kumpulan peniaga dapat mengurangkan kos pengendalian sementara pengguna pula akan dapat nikmati aliran pembayaran yang lebih cepat dan mudah.