Seperti yang umum sedari, sejak beberapa tahun ini terdapat peningkatan populariti pempengaruh kewangan (finfluencer) di pasaran Malaysia yang dilihat semakin aktif berkongsi pendapat, memberi khidmat nasihat serta mempromosikan produk tertentu di medium media sosial negara.
Selari dengan peningkatan itu, Suruhanya Sekuriti (SC) kini turut mengandakan usaha dalam pemantauan pempengaruh kewangan terlibat bagi memastikan segala perkongsian yang dilaksanakan adalah tertakluk di bawah perundangan negara iaitu memiliki lesen yang sah bagi aktiviti mempromosi produk pasaran modal di platform media sosial.
Pemantauan ini jelas SC pada laporan BH, adalah bertepatan dengan perundangan negara dalam melindungi kepentingan pelabur. Semua pihak perlu fahami, sebarang aktiviti nasihat pelaburan perlu memiliki lesen SC untuk kebenaran tersebut.
Biarpun sesebuah platform mungkin mempunyai lesen daripada pihak berkuasa di negara lain, namun ia tidak semestinya mempunyai kebenaran untuk menawarkan produk atau perkhidmatan kepada pelabur di Malaysia. Ini kerana penggunaan platform luar negara tidak berada di bawah bidang kuasa SC maka sebarang promosi berkaitan boleh menyukarkan pelabur tempatan untuk mendapatkan perlindungan sekiranya berlaku sebarang pertikaian.