Kerajaan kini bersetuju menaikkan nilai ambang pelaksanaan e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta berkuat kuasa hari ini (1 September). Dengan kenaikan tersebut, ini bermakna peniaga yang memiliki pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM3 juta adalah tidak diwajibkan untuk melaksanakan e-Invois.
Manfaat ini menurut LHDN sekali gus memberi kelebihan kepada lebih 1.1 juta peniaga yang meraih pengecualian tersebut.
Usaha ini dilihat dapat meringankan beban pematuhan dan kos yang ditanggung perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di samping memberi ruang kepada golongan peniaga untuk terus beri tumpuan kepada kelangsungan dan pengembangan perniagaan di pasaran. Biarpun nilai ambang e-Invois ini dinaikkan, LHDN kekal menyarankan penyertaan PMKS secara sukarela dalam memastikan amalan e-Invois ini dilaksanakan – tidak sekadar memudahkan aliran dokumen pembeli bahkan membantu aliran transaksi peniaga kekal cekap.
Secara menyeluruh sejak dilaksanakan pada Ogos 2024, seramai 265,379 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois dengan pengeluaran lebih 1.84 bilion e-Invois.