Artikel

TNB Kekal Lindungi Rakyat – Raih Prestasi Berdaya Tahan Sepanjang 6 Bulan Pertama 2026

Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memaparkan prestasi berdaya tahan bagi separuh pertama 2026 (1H 2026) – biarpun berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global. TNB dilihat terus perkukuhkan peranan kumpulan dengan penyediaan bekalan elektrik bersama komitmen peralihan tenaga Malaysia bagi jangka masa panjang.

Dalam persekitaran berdaya tahan ini, TNB kekal optimis meneruskan langkah pelaburan kumpulan pada ekosistem tenaga Malaysia dan dalam masa sama memberi nilai buat para pemegang taruhnya.

“Prestasi 1H 2026 ini membolehkan kami untuk terus melabur dalam infrastruktur kritikal yang bukan hanya membekalkan tenaga kepada isi rumah dan perniagaan, malah memperkukuhkan keterjaminan tenaga negara, mempercepatkan peralihan tenaga serta memastikan kami dapat terus menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan selamat di samping mencipta nilai buat pelanggan, pemegang saham dan negara,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad.

Bekalan Elektrik Terjamin, Keselamatan Rakyat Diutamakan

Seperti yang umum ketahui, separuh pertama 2026 telah memperlihatkan peningkatan harga bahan api global secara berkala – yang sekali gus memberi tekanan kepada kos penjanaan elektrik. Keadaan ini mengakibatkan pelarasan di bawah mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang diperkenalkan Kerajaan.

AFA untuk makluman adalah kaedah pelarasan semula kos bahan api – yang membolehkan TNB melaras kadar tarif secara berkala mengikut naik turun kos sebenar bahan api utama di pasaran antarabangsa.

Dengan pendekatan mengutamakan ketelusan dalam mengurus turun naik kos bahan api, TNB menjelaskan pengguna elektrik di Malaysia telah menerima rebat RM3.1 bilion sejak AFA mula diperkenal pada Julai 2025 sehingga April tahun ini.

Malah, dengan ketidaktentuan pasaran global semasa Kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) sejak Mei 2026 bagi mengurangkan impak kepada pengguna. Bersama komitmen itu, TNB turut menyokong dengan melabur RM5.6 bilion sepanjang 1H 2026 dalam projek berkaitan kebolehpercayaan bekalan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, memastikan keterjaminan bekalan dan peralihan tenaga.

Menerusi pelaburan berterusan dalam teknologi grid pintar, automasi rangkaian dan penyelenggaraan ramalan, TNB turut memantapkan kemampuannya untuk memulihkan bekalan dengan lebih pantas serta mempertingkatkan pengurusan gangguan bekalan, terutamanya ketika tempoh permintaan elektrik tinggi dan cuaca ekstrem.

Hasilnya pelaburan ini mendorong kepada rekod Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) yang lebih baik kepada 23.45 minit.

Memacu Landskap Tenaga Masa Hadapan Malaysia

Selaras dengan matlamat mempersiapkan Malaysia untuk tampil selaku negara yang memiliki ekosistem tenaga yang kukuh – TNB terus mempercepatkan pelaburan strategik kumpulan dengan memberi tumpuan pada elektrifikasi industri, industri berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pelaburan pusat data.

Antara pencapaian utama sepanjang tempoh ini termasuklah:

  • Pengoperasian Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt/400 megawatt-jam di Terengganu, yang diiktiraf sebagai BESS tersambung grid dengan teknologi grid-forming yang pertama di Malaysia.
  • Kerjasama dengan Petronas Gas Berhad bagi membangunkan Terminal Regasifikasi Ketiga di Lumut, Perak, seterusnya meningkatkan daya tahan bekalan LNG jangka panjang dan menyokong penjanaan elektrik yang boleh dipercayai.
  • Mempercepat peralihan tenaga menerusi penganjuran Persidangan Peralihan Tenaga 2026 yang menghimpunkan lebih 6,000 delegasi dari lebih 60 negara, serta menghasilkan 15 kerjasama strategik merangkumi tenaga boleh baharu, pembangunan grid dan kesalinghubungan serantau.
  • Pelancaran Energy Transition and Sustainability Academy (ETSA) dengan tujuan membangunkan bakat masa hadapan dan memperkukuh kerjasama antara industri, ahli akademik dan penggubal dasar dalam merealisasikan penyelesaian peralihan tenaga yang praktikal.

TNB Bina Nilai Berterusan Bersama Komuniti, Alam Sekitar

Biarpun pengguna individu, isi rumah dan perniagaan menjadi teras utama TNB dalam perkhidmatan – kumpulan tenaga Malaysia ini kekal mengukuhkan nilai tambah perkhidmatan mereka antaranya memberi tumpuan kesan terhadap komuniti dan alam sekitar.

Nilai ini diterjemah menerusi komitmen TNB, My Brighter Green Initiative 2026 – yang bertindak memelihara alam sekitar menerusi penanaman 40,000 anak pokok hutan dan bakau di seluruh negara sepanjang tahun ini. Inisiatif ini menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti, daya tahan iklim dan penglibatan komuniti, di samping menyokong agenda kelestarian alam sekitar Malaysia.

Usaha pemerkasaan komuniti turut diperluaskan secara berperingkat menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat, dengan peruntukan RM109 juta sepanjang tempoh ini:

  • Sokongan Pendidikan (RM71.1 juta): bantuan kepada pelajar menerusi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN), memanfaatkan 7,550 pelajar serta memperkukuh pembangunan modal insan jangka panjang Malaysia.
  • Pembangunan Sukan (RM5.4 juta): pelbagai sokongan yang memanfaatkan 42,420 atlet dan peminat sukan, termasuk program hoki kebangsaan.
  • Program Bersama Sekolah (RM7.1 juta): merangkumi beberapa inisiatif termasuk Ceria Ke Sekolah dan Sekolah Angkat yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 murid dan 50 sekolah.
  • Program Komuniti dan Sokongan (RM16.3 juta): pelbagai inisiatif sokongan komuniti termasuk bantuan bencana dan Projek Mesra Rakyat, yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 individu.
  • Pemerkasaan Komuniti Melalui elektrifikasi (RM0.4 juta): inisiatif elektrifikasi termasuk pemasangan sistem solar, pencahayaan LED dan pendawaian semula yang memberi manfaat kepada 3,600 orang.

Malah, sejumlah RM8.7 juta zakat wakalah disalurkan kepada lebih 50,000 penerima asnaf.

Momentum 2026 Dikekalkan

Dengan prestasi operasi yang positif, TNB kekal meneruskan pelaburan dalam infrastruktur kritikal di samping memberikan pulangan kepada pemegang saham.

Bagi 1H 2026, TNB mencatatkan pendapatan RM2.0 bilion, disokong oleh peningkatan jualan elektrik, yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor komersial serta peningkatan keuntungan operasi. Prestasi yang stabil ini membolehkan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, selaras dengan dasar dividen syarikat.

Pembayaran dividen berjumlah RM1.5 bilion ini akan diagihkan kepada pemegang saham TNB, dengan 64.1% disalurkan ke syarikat-syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan dan Lembaga Tabung Haji.

Manfaat ini dijamin beri pulangan secara terus kepada jutaan rakyat Malaysia, lantas mencerminkan komitmen TNB dalam memberi nilai di samping menyumbang kembali kepada negara.

Daya tahan kewangan TNB terus menyediakan asas kukuh bagi pelaburan berterusan dalam pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu, pendigitalan dan peluasan infrastruktur yang menyokong keterjaminan tenaga serta pembangunan ekonomi jangka panjang Malaysia.

TNB Teguh Berkhidmat Buat Rakyat Malaysia

Bergerak ke hadapan, TNB menjangkakan permintaan elektrik kekal pada trajektori pertumbuhan yang stabil, disokong oleh perkembangan sektor perindustrian, digitalisasi, bangunan pintar, mobiliti elektrik dan peningkatan pelaburan dalam industri berasaskan AI dan pusat data.

Maka di sebalik permintaan yang terus berkembang ini, TNB berdiri teguh bersama tanggungjawab utamanya – menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai, terjamin dan mudah diakses kepada rakyat Malaysia. Usaha ini berpotensi memberikan nilai jangka panjang tidak hanya kepada pemegang saham, tetapi lebih penting kepada rakyat, dengan memastikan peralihan tenaga memperkukuhkan ekonomi Malaysia, mewujudkan peluang baharu dan mempertingkat kualiti hidup generasi akan datang.